FAQ
SSPA merupakan sistem saraan terkini perkhidmatan awam Malaysia. SSPA menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang telah diguna pakai selama hampir 21 tahun. Semakan semula adalah selari dengan perkembangan semasa, serta seiring dengan peranan yang perlu dimainkan oleh perkhidmatan awam dalam mencapai aspirasi nasional yang digariskan menerusi dokumen-dokumen dasar termasuk Ekonomi MADANI, Rancangan Malaysia Ke-12 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMKe-12) yang memberi fokus kepada keberkesanan dan pencapaian keberhasilan dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) selaku jabatan penggerak utama dalam pembaharuan keseluruhan perkhidmatan awam telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan kajian penambahbaikan sistem saraan perkhidmatan awam.
Kajian SSPA telah dijalankan bermula dari 29 Julai 2023 dan diterajui oleh oleh tiga (3) jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Kecil Kerja Pengurusan Bakat (JKPB), Jawatankuasa Kecil Kerja Pembangunan Operasi (JKPO), dan Jawatankuasa Kecil Kerja Kemapanan Saraan (JKKS).
Objektif pelaksanaan SSPA adalah seperti berikut:
bagi memastikan penjawat awam yang berprestasi tinggi dan berintegriti diberikan pengiktirafan;
bagi meningkatkan kecekapan penjawat awam serta struktur organisasi ke arah memantapkan penyampaian perkhidmatan;
bagi mengoptimumkan sumber manusia dan kewangan negara; dan
bagi peningkatan kualiti perkhidmatan awam akan menyumbang kepada keberkesanan Kerajaan yang akan diterjemahkan dalam bentuk penarafan antarabangsa.
SSPA telah dibentuk dengan mengambil kira perkaitan antara pembentukan modal insan dan aspirasi nasional. Tiga (3) elemen utama prinsip SSPA adalah Dinamik, Nilai dan Adil (DNA), yang merangkumi elemen organisasi dan penjawat awam seperti yang berikut:
Dinamik - struktur dan skim perkhidmatan serta modal insan sektor awam yang tangkas dan sedia masa hadapan;
Nilai - penerapan nilai dan amalan murni penjawat awam ke arah peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan perkhidmatan berorientasikan rakyat; dan
Adil - Kesaksamaan dan kesamarataan dalam penetapan dasar sumber manusia merangkumi fasa sebelum semasa dan pasca perkhidmatan.
SSPA memfokuskan kepada dua (2) keberhasilan utama seperti yang berikut:
- memantapkan kesejahteraan dan produktiviti kerja penjawat awam. Peningkatan produktiviti dilihat melalui output kerja yang lebih tinggi dan layanan yang lebih berkualiti kepada masyarakat.
- memastikan penyampaian perkhidmatan yang cekap dengan mengoptimumkan sumber sedia ada seperti tenaga kerja, teknologi, dan kewangan dengan cara yang paling efektif dan efisien. Ini termasuk penambahbaikan proses-proses kerja dengan penggunaan teknologi bagi mengautomasi dan memudahkan prosedur, serta pengurangan pembaziran sumber. Melalui pengoptimuman sumber ini, sektor awam dapat menyampaikan perkhidmatan kepada masyarakat dengan lebih cepat, tepat dengan kos yang lebih rendah.
SSPA disediakan bersandarkan kepada falsafah ganjaran menyeluruh (total rewards) merangkumi skim perkhidmatan, urusan perkhidmatan, gaji, elaun, kemudahan, dan persaraan serta faedah persaraan ke arah peningkatan motivasi, prestasi dan produktiviti perkhidmatan awam yang disokong dengan pembudayaan nilai-nilai teras yang ditetapkan dalam perkhidmatan awam.
Terdapat pelbagai penambahbaikan yang dibawa oleh SSPA kepada penjawat awam termasuk pelarasan gaji dan pencen, Jadual Gaji Maksimum-Minimum (JGMM) baharu, penambahbaikan dalam pemberian elaun, kemudahan, pemberian pengiktirafan dan struktur skim perkhidmatan.
SSPA terpakai kepada pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan melalui Pekeliling Perkhidmatan SSPA yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada September 2024.
Peruntukan Pekeliling Perkhidmatan SSPA berkenaan pada keseluruhannya turut dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan Berkanun, tertakluk kepada penerimaan oleh pihak berkuasa masing-masing.
Tawaran opsyen SSPA hanya diberikan kepada Pegawai Lantikan Tetap. Bagi pegawai-pegawai lantikan kontrak sedia ada termasuk Lantikan Kontrak (Interim), terma-terma kontrak akan diselaraskan berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan SSPA.
- Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024 - Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan.
- Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2024 - Kumpulan Pengurusan Tertinggi.
- Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2024 - Polis Diraja Malaysia (PDRM).
- Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2024 - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
- Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2024 - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
- Surat Pelaksanaan - Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Tarikh kuat kuasa SSPA adalah pada 1 Disember 2024.