Latar Belakang SSPA
SOROTAN SISTEM SARAAN PERKHIDMATAN AWAM
Sistem Saraan Perkhidmatan Awam telah melalui pelbagai penambahbaikan dalam empat (4) dekad ini. Pada tahun 1980, berlaku perubahan gaji pegawai sektor awam. Menerusi Jawatankuasa Kabinet (JKK). Inisiatif ini tertumpu kepada perbandingan upah dengan sektor swasta, kadar upah untuk kerja, kelayakan masuk dan latihan, prinsip gaji bersih dan penetapan elaun berkenaan.
Mulai tahun 1991, Sistem Saraan Baru (SSB) dikuatkuasakan bertujuan untuk mengkaji dan mengemas kini kadar upah dengan kerja mengikut perkhidmatan, jawatan dan prestasi anggota, kelayakan masuk dan latihan, gaji pokok dengan komponen berubah, perbandingan adil bagi jenis dan peringkat kerja, relativiti dan pariti, serta pengasingan saraan melibatkan Badan Berkanun tertentu yang mempunyai kemampuan kewangan dan jentera organisasi yang kukuh.
Seterusnya, Sistem Saraan Malaysia (SSM) diperkenalkan pada tahun 2002, menumpukan kepada aspek pengukuhan terhadap penambahbaikan di bawah SSB yang mana antaranya melibatkan pengenalan elemen kompetensi dalam pengurusan prestasi penjawat awam. Pada tahun 2011, sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) telah diperkenalkan dengan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM2.9 bilion. Namun, pelaksanaannya telah dibatalkan dan SSM ditambah baik melalui pengenalan Jadual Gaji Minimum Maksimum (JGMM) dan kadar gaji baru serta kenaikan gaji 7% hingga 13%.
Pemantapan SSM diteruskan pada tahun 2016 melalui rasionalisasi skim perkhidmatan yang melibatkan penyeragaman gred lantikan, tambahan lapisan gred kenaikan pangkat, perluasan pemakaian Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), pindaan perbekalan skim perkhidmatan, pemindahan kelayakan sijil politeknik / sijil setaraf Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) daripada skim perkhidmatan dengan kelayakan masuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada skim perkhidmatan berkelayakan STPM/ diploma serta penjumudan dan pemansuhan skim perkhidmatan. Setelah hampir 21 tahun anggota perkhidmatan awam mengguna pakai SSM, Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PPA) Bilangan 2 Tahun 2023 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri pada 7 Ogos 2023 telah bersetuju agar semakan sistem saraan dilaksanakan menerusi Kajian SSPA.
CABARAN SEMASA
Pendapatan boleh guna penjawat awam tidak seiring dengan peningkatan kos sara hidup semasa.
Bebanan tanggungan fiskal Kerajaan bagi pembayaran emolumen dan faedah persaraan penjawat awam yang meningkat.
Keperluan meningkatkan produktiviti perkhidmatan awam.
Keperluan untuk memantapkan pembudayaan nilai dan integriti penjawat awam.
Lokasi
Jabatan Perkhidmatan Awam
Blok C1-C3, Kompleks C,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62510 Wilayah Persekutuan Putrajaya, Malaysia.
Waktu Operasi
Isnin - Jumaat
8:30 pagi - 5:30 petang
Kecuali Cuti Umum &
Hari Kelepasan Am
Hubungi Kami
+603 8885 3380
© 2024 Jabatan Perkhidmatan Awam. Hak Cipta Terpelihara